🌀 PROGRAM SENTUHAN KOMUNITI | TEAM SAM BATU PAHAT @ KAMPUNG PARIT PENGHULU, JALAN PARIT JALIL.
Alhamdulillah, malam ini Team SAM Batu Pahat berkesempatan turun menziarahi beberapa buah rumah di sekitar Parit Penghulu.
Malam ini kami bergerak dari satu rumah ke satu rumah. Walaupun nampak sederhana, setiap kunjungan ada cerita dan ujian masing-masing.
Rumah pertama, kami bertemu Puan Nur Asmah binti Zainal Abidin yang sedang diuji dengan angin ahmar. Kami luangkan sedikit masa bertanya khabar, berbual dan menyampaikan sedikit sumbangan.
Dari situ, kami teruskan perjalanan ke rumah kedua dan bertemu pula Puan Halimah binti Jahid, yang juga sedang diuji dengan angin ahmar. Sekali lagi kami singgah, berbual seketika dan memberikan sedikit semangat supaya terus kuat menghadapi ujian.
Kemudian kami bergerak ke rumah ketiga, bertemu Puan Normah binti Jafri, seorang ibu tunggal. Kami dengarkan sedikit cerita dan keadaan beliau, sambil menyampaikan sumbangan sebagai tanda ingatan daripada Team SAM Batu Pahat.
Perjalanan diteruskan lagi ke rumah keempat. Kali ini kami menziarahi Puan Jamilah binti Baharom, yang sedang menjalani rawatan dialisis. Walaupun kehidupan tidak selalu mudah, kami dapat lihat sendiri semangat beliau untuk terus kuat.
Rumah terakhir malam ini pula ialah rumah Encik Saim bin Hamid, yang sedang diuji dengan masalah asma kronik. Kami singgah, bertanya khabar dan berkongsi sedikit sumbangan sebelum meneruskan perjalanan.
Lima buah rumah kami singgah malam ini. Lima keluarga, lima cerita dan lima ujian kehidupan yang berbeza.
Bagi Team SAM Batu Pahat, inilah antara perkara yang kami cuba lakukan, turun sendiri bertemu masyarakat, dengar cerita mereka dan sekurang-kurangnya hadir untuk memberikan sedikit sokongan ketika mereka sedang melalui waktu yang sukar.
Kadang-kadang bukan besar mana pun sumbangan yang kita bawa. Tetapi kehadiran, salam, senyuman, sedikit masa dan doa yang kita titipkan mungkin cukup untuk membuat mereka rasa bahawa masih ada yang mengambil berat.
Terima kasih kepada Ketua Kampung Parit Penghulu, Tok Mukari bin Laton, serta barisan kepimpinan JPKK atas kerjasama, sokongan dan sambutan mesra kepada Team SAM Batu Pahat.
Semoga Allah SWT mengurniakan kesembuhan kepada yang sakit, memberikan kekuatan kepada setiap keluarga yang sedang diuji dan memberkati usaha kecil kita dalam membantu masyarakat.
“Demi Batu Pahat”
“Komuniti. Kebersamaan. Kekeluargaan.”
Pengalaman kami bersama Team SAM Batu Pahat memberikan pengajaran mendalam tentang nilai kebersamaan dalam komuniti. Mengunjungi mereka yang menghadapi ujian seperti angin ahmar, dialisis, dan asma kronik bukan sahaja membuka mata, malah menyuntik semangat untuk lebih peka terhadap kesedaran kesihatan masyarakat sekitar. Setiap kunjungan bukan hanya tentang sumbangan material, tetapi juga tentang memberikan kehadiran dan perhatian. Bagi ramai pesakit, khususnya yang sudah berumur atau menghidap penyakit kronik, interaksi sosial yang hangat mampu meningkatkan semangat hidup dan membantu mereka melalui cabaran harian. Penglibatan komuniti seperti Team SAM Batu Pahat menunjukkan bahawa program sentuhan komuniti efektif menyokong kesejahteraan sosial. Kerjasama dengan Ketua Kampung dan JPKK juga penting untuk memastikan bantuan sampai ke golongan yang memerlukan. Usaha sebegini boleh dijadikan model oleh komuniti lain di Malaysia untuk membina jaringan sokongan yang lebih kukuh. Saya percaya, tindakan kecil seperti senyuman, salam, dan doa yang dihulurkan apatah lagi sumbangan ikhlas, mampu membawa impak besar dalam hidup mereka yang diuji. Semangat "Demi Batu Pahat" yang menekankan komuniti, kebersamaan, dan kekeluargaan kini boleh dijadikan inspirasi untuk semua supaya tidak melupakan nilai kemanusiaan dalam kehidupan seharian.










