KEK RED VELVET VERSI KUKUS
Saya sendiri mula suka resepi kek red velvet kukus ni sebab tak perlu oven, cukup ada pengukus biasa di rumah. Ramai DM tanya step lengkap, jadi saya tulis detail sikit supaya senang follow. Untuk bahan basah, pastikan 4 biji telur (saiz A/B) berada pada suhu bilik dulu, baru pukul dengan 1 cawan gula kastor, 1 sudu kecil creamy vanilla atau esen vanilla dan 1 sudu besar ovalette. Mix sampai betul-betul kembang putih, pekat dan berjejak. Kalau nampak masih cair dan tak naik, sambung je mix lagi. Bahagian ni penting untuk dapat tekstur kek yang gebu walaupun kita kukus. Lepas tu baru masukkan bancuhan buttermilk: 1 cawan susu full cream + 2 sudu besar red velvet emulco + 1 sudu kecil jus lemon atau cuka makan. Masuk sikit-sikit sambil terus mix, jangan tuang sekaligus. Adunan memang akan nampak agak cair, tapi jangan risau, bila digabung dengan bahan kering nanti dia akan jadi elok. Untuk bahan kering, ayak siap-siap 2 cawan tepung naik sendiri + 1 sudu besar serbuk koko + 1 sudu kecil baking powder. Masukkan ke dalam adunan sedikit demi sedikit sambil mix perlahan, cukup sampai sebati sahaja, tak perlu mix lama. Akhir sekali baru masuk ½ cawan minyak jagung, mix sekejap dan sambung kaup balik guna spatula supaya tak ada bahagian tepung yang tertinggal di bawah mangkuk. Dari segi mengukus, saya panaskan air kukusan dulu sampai betul-betul mendidih. Loyang saya alas dasar dengan baking paper dan sapu nipis minyak. Tuang adunan, hentak perlahan untuk buang gelembung udara. Balut penutup pengukus dengan kain bersih supaya wap air tak menitis atas permukaan kek. Guna api sederhana, jangan terlalu kuat nanti kek jadi pecah atau merekah. Tempoh kukus lebih kurang 45–60 minit bergantung pada saiz loyang; cucuk dengan lidi, kalau keluar bersih maksudnya kek dah masak. Kalau nak kek red velvet kukus ni lebih cantik, boleh sejukkan dulu sepenuhnya baru sapu cream cheese frosting atau whipping cream. Untuk yang suka rasa tak terlalu manis, macam saya dalam video saya kurangkan gula sikit dari sukatan asal, tetap menjadi dan lembap. Resepi ni memang sesuai untuk yang baru belajar masak: bahan senang cari, sukatan pakai cawan dan teknik kukus saja. Kalau nak saya share versi loyang kecil atau oven pula, boleh komen untuk Part 2.

Lihat lebih banyak komen