SINOPSIS:
Janda Milik Karl Iskandar ✨
~
Perkahwinan sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk pulang… tetapi bagaimana jika orang yang cuba meruntuhkannya bukan orang asing, sebaliknya darah daging sendiri?
Ayla Nasuha tidak pernah menyangka hidupnya akan berubah begitu pantas sebaik sahaja dia sah menjadi isteri kepada Karl Iskandar.
Di sebalik hubungan yang baru bertunas, tersimpan satu kenangan yang tidak pernah benar-benar hilang dari ingatan lelaki itu. Pertemuan yang janggal, memalukan, namun cukup untuk mengikat sesuatu yang sukar dijelaskan oleh hati.
“Kurang ajar betul. Tak reti ketuk ke.” -Ayla
“Serius saya tak nampak orang. Pintu tu terbuka sikit tadi, jadi saya ingatkan tak ada orang.” -Karl
Namun kebahagiaan itu mula goyah apabila Ezlynn, sepupu yang menyimpan iri dan dendam, hadir dengan niat yang tidak pernah suci. Dengan dorongan ibunya, dia sanggup melangkah lebih jauh, ingin merampas bukan sahaja perhatian, tetapi juga lelaki yang kini menjadi milik Ayla.
“Apa kata kalau kau cuba goda laki dia tu. Aku tengok budak tu macam senang je kena goda. Lurus bendul orangnya.” -Puan Athirah
“Mama nak Lyn goda suami Ayla? Mama serius?” -Ezlynn
Apa yang bermula dengan sindiran halus, perlahan-lahan bertukar menjadi luka yang semakin dalam. Fitnah, amarah dan permainan perasaan mula menghakis kepercayaan yang baru sahaja dibina. Hingga satu tragedi berlaku, meninggalkan kesan yang bukan sekadar pada fizikal, tetapi juga pada hati yang pernah cuba untuk setia.
Dalam kekalutan itu, Ayla terpaksa belajar tentang erti cinta yang sebenar. Bahawa cinta bukan sekadar memiliki, tetapi juga tentang mempertahankan… atau melepaskan.
“Please… beritahu kat mana Karl? Saya dah tak tahu nak cari dia kat mana?” -Ayla
Kerana apabila kepercayaan mula retak, cinta tidak lagi berdiri sebagai tempat berlindung, tetapi menjadi ujian yang menentukan siapa yang akan terus bertahan… dan siapa yang akhirnya memilih untuk pergi.




































