YAHAIRA ILANI: RAHSIA DI SEBALIK AKAD
TEASER 1
“Hai, abang Aryan!”
Kus semangat!
Aryan hampir melatah. Spontan tangannya mengurut dada. Baru saja dia mengadu tentang Yahaira kepada Behzad, tahu-tahu gadis itu sudah tercegat di depan mata. Betullah orang kata, pantang sebut nama.
Matanya melirik Yahaira dari atas ke bawah sebelum mengeluh perlahan. Hari itu gadis itu bergaya bukan main sakan lagi. Skirt paras lutut dipadankan dengan blaus tanpa lengan. Makin sakit mata dibuatnya.
“Masih awal, Aira.”
“Awal?” Yahaira berkerut dahi.
Kemudian dia menyedari pandangan Aryan yang sedang memerhatikan pakaiannya. Bibirnya terus mengukir senyuman.
“Pandai abang bergurau. Tak adalah rumah tangga kita sunyi nanti.”
Rahang Aryan terus mengetap. Matanya dijulingkan ke siling, menahan sabar.
“Abang....”
“Pergi balik. Abang tak ada masa nak layan Aira.”
“Eleh, layan Hazlyn boleh pula,” sindir Yahaira.
“Hei! Dia tu kekasih abang. Memanglah abang layan dia!”
Yahaira mencebik. Kekasih konon!
“Apa cebik-cebik tu?” soal Aryan tajam.
“Menyampah,” balas Yahaira selamba sambil membuat muka comel.
“Abang ada kerja nak buat. Kalau nak berbual, pergi ajak Behzad.”
Aryan mencapai beberapa fail yang berselerak di atas meja lalu menyusunnya, sengaja menyibukkan diri. Dia berharap Yahaira faham isyarat itu dan beredar. Kalau Yahaira tak faham juga, tak tahulah nak cakap bagaimana.
“Abang....” Suara Yahaira kembali meleret. Wajahnya mula mencuka apabila kehadirannya langsung tidak dipedulikan. Penat dia menyediakan bekal, alih-alih layanan yang diterima dingin begini.
“Apa lagi ni?”
Aryan mengangkat kepala. Fail hitam di tangannya ditutup lalu diletakkan semula di atas meja. Pandangannya tertumpu tepat pada Yahaira yang masih setia berdiri di hadapannya.
“Temankan Aira makan... please.”
Yahaira mula mengelipkan mata berkali-kali sambil menyendengkan kepala ke kiri, mempamerkan wajah paling comel yang mampu dibuatnya. Malangnya, sedikit pun hati
Aryan tidak terusik. Pada pandangannya, bukan comel, sebaliknya makin menjengkelkan.
“Pergi ajak Behzad,” arah Aryan tanpa sebarang perasaan.
Yahaira mengertap gigi menahan geram. Bekal yang dibawa diletakkan di atas meja Aryan. Tanpa dipelawa, dia menarik kerusi lalu duduk di hadapan lelaki itu. Lantaklah kalau Aryan nak kata dia menggatal. Memang itulah yang sedang dia buat. Cuma hati Aryan saja yang keras bukan main. Hati kering sungguh!
“Aira!”
Suara Aryan meninggi. Itulah yang membuatkan dia benar-benar menyampah dan hilang sabar. Bercakap dengan Yahaira pun sudah cukup membuat kepalanya berdenyut. Makin ditegur, makin menjadi-jadi.
“Abang lapar, kan? Tengok ni, Aira masak sendiri tahu. Mak Enab tolong ajarkan.” Yahaira langsung tidak menghiraukan tempikan Aryan.
Dia membuka penutup bekal. Terhidang mi goreng mamak bersama telur mata dan sambal ikan bilis. Aromanya sahaja sudah cukup membangkitkan selera.
“Kita share tau, abang. Mana tahu lepas ni kasih sayang abang dekat Aira bertambah.”
Aryan mendesis geram. Dia menyandarkan badan pada kerusi sambil memicit pelipis. Kesabarannya semakin menipis. Kalaulah gadis di hadapannya itu bukan adik kepada kawan baiknya, sudah lama dia mengarahkan pengawal keselamatan mengheret Yahaira keluar.
Pm: 011-55551618





























































