YAHAIRA ILANI: RAHSIA DI SEBALIK AKAD
TEASER 6
“Apa kurangnya Aira?”
Suara Yahaira bergetar menahan sebak.
“Aira dah jatuh cinta dekat abang sejak Aira tingkatan empat lagi. Abang lupa ke? Masa tu abang selalu ambil Aira balik sekolah. Abang selalu bawa Aira pergi makan. Abang dah lupa semua tu?”
“Aira....” Aryan menghela nafas perlahan. “Abang buat semua tu sebab Aira adik kawan baik abang. Behzad minta tolong dan abang cuma tolong dia. Abang jaga Aira macam mana Behzad jaga Aira.”
Dia berhenti seketika sebelum menyambung.
“Sayang abang pada Aira tak pernah lebih daripada tu. Sama macam Behzad sayangkan Aira sebagai adik.”
Hati Yahaira terasa bagai dicarik. Jawapan itu terlalu pedih untuk diterima.
“Takkan tak ada langsung perasaan cinta abang pada Aira?”
Matanya yang merah dan basah terus mencari wajah Aryan.
“Apa teruk sangat Aira ni sampai abang tak boleh sayang Aira lebih daripada seorang adik?”
Tangannya perlahan-lahan melekap pada dada.
“Cinta Aira dekat abang....” Suaranya semakin tenggelam. “Tak pernah berubah. Dah sepuluh tahun, bang. Sepuluh tahun Aira tunggu abang. Takkan selama tu abang langsung tak pernah pandang Aira? Sikit pun... abang tak pernah nak bagi Aira peluang?”
“Aira....” Aryan menelan liur. Dadanya terasa berat.
Yahaira bukan tak cantik. Malah, terlalu cantik. Bukan juga tak baik. Sepanjang dia mengenali gadis itu, Yahaira sentiasa seorang yang baik. Cuma, hatinya tidak pernah berdebar setiap kali bersama Yahaira.
Dia tahu sejak dulu Yahaira menyimpan perasaan terhadapnya. Dia juga sedar gadis itu sudah lama menunggu. Namun dia tak mampu membalas kerana seluruh hatinya sudah menjadi milik Hazlyn.
“Aira....” Aryan menarik nafas panjang sebelum bersuara. “Abang minta maaf. Abang tak pernah ada perasaan pada Aira. Sedetik pun tak pernah. Abang cintakan Kak Lyn.”
Yahaira memejam mata rapat. Air mata yang mengalir dibiarkan membasahi pipi. Hatinya bagai dihiris berkali-kali, namun dia tetap menggagahkan diri memandang Aryan.
“Aira takkan putus asa selagi abang belum kahwin dengan Hazlyn,” ucapnya tegas walaupun suaranya sudah pecah menahan tangis.
Pm: 011-55551618






























































